Rabu, 12 Januari 2011

Pencipta Lampu

Thomas Edison

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, gelintar
Thomas Alva Edison
Thomas Edison2.jpg
"Genius ialah 1% ilham, 99% keringat." - Thomas Alva Edison, Bulanan Harper (September 1931)
Lahir: 11 Februari 1847
Bendera Amerika Syarikat Milan, Ohio
Meninggal dunia: 18 Oktober 1931 (umur 84)
Bendera Amerika Syarikat Orange Barat, New Jersey
Pekerjaan: Pereka, usahawan
Pasangan: Mary Edison, Mina Edison
Tempat lahir Edison
Thomas Edison ketika masih kanak-kanak.
Thomas Alva Edison (11 Februari 184718 Oktober 1931) ialah seorang pereka dan usahawan Amerika Syarikat yang mengembangkan banyak peranti yang amat mempengaruhi kehidupan di seluruh dunia. Digelar "Yang Pintar dari Taman Menlo" oleh seorang wartawan, beliau adalah salah satu pereka terawal yang menggunakan pengeluaran besar-besaran untuk proses perekaan dan oleh itu, sering dihargai kerana mencipta makmal penyelidikan perindustrian yang pertama.[1]
Edison telah dianggap sebagai salah satu pereka yang paling prolifik dalam sejarah, dan memiliki 1,093 buah paten Amerika Syarikat atas namanya, serta juga banyak paten di United Kingdom, Perancis, dan Jerman.

Isi kandungan

[sorok]

[sunting] Kehidupan awal

Dilahirkan di Milan, Ohio, Thomas Edision ialah anak bongsu serta anak ketujuh kepada Samuel Ogden Edison, Jr. (1804-1896; dilahirkan di Marshalltown, Nova Scotia, Kanada) dan Nancy Matthews Edison nee Elliott (1810-1871). Keluarganya berasal dari Belanda. [2]
Di sekolah, fikiran Edison yang muda sering melayang-layang dan gurunya, Reverend Engle, kedapatan mengatakannya "bercelaru". Ini menamatkan persekolahan Edison yang telah berlangsung selama tiga bulan. Edison kemudian mengenangkan, 'Ibukulah yang menyebabkanku berjaya. Dia amat menyayangiku, begitu percaya akan aku; dan aku berasa aku mempunyai suatu tujuan untuk hidup, suatu orang yang harus aku tidak mengecewakan." Ibunya kemudian mengajarnya di rumah. [3] Kebanyakan daripada pendidikannya datang daripada membaca buku Richard Green Parker, Aliran Fikiran Falsafah Semula Jadi.
Punca kepekakan Edison dikatakan diakibatkan oleh demam marak semasa kanak-kanak serta juga oleh jangkitan telinga tengah berulang yang tidak dirawat. Pada sekitar pertengahan kerjayanya, Edison mengaitkan hilang pendengarannya kepada suatu peristiwa yang berkaitan dengan seorang konduktor kereta api yang menampar telinganya ketika makmal kimianya terbakar di dalam sebuah gerabak. Pada tahun-tahun kemudian, beliau mengubah suai ceritanya dan mengatakan bahawa kecederaan itu berlaku apabila seorang konduktor yang bertujuan untuk membantunya memasuki gerabak kereta api yang sudah bergerak mengangkat telinganya. [4][5]
Keluarga Edison terpaksa berpindah ke Pelabuhan Huron, Michigan apabila landasan kereta api memirau Milan, tetapi kehidupannya di Michigan pahit manis. Beliau menjual gula-gula dan akhbar di dalam keretapi-keretapi yang berulang-alik dari Pelabuhan Huron ke Detroit.
Edison kemudian menjadi seorang operator telegraf selepas menyelamatkan Jimmie MacKenzie yang berumur tiga tahun daripada dilanggar oleh sebuah kereta api yang tidak terkawal. Bapa Jimmie yang merupakan seorang ejen stesen J.U. MacKenzie dari Gunung Clemens, Michigan berasa terhutang budi sehingga melatih Edison menjadi seorang operator telegraf. Selepas latihan selama tiga bulan, Edison menguasai kemahiran dan digaji oleh sebuah pejabat telegraf yang dimiliki oleh Western Union.[6] Kepekakan Edison dikatakan membantunya kerana ia menyekat bunyi-bunyi dan menghalang Edison daripada mendengar operator telegraf yang duduk di sebelahnya. Salah satu mentornya pada masa awal itu ialah seorang rakannya yang juga operator telegraf serta juga pereka yang bernama Franklin Leonard Pope. Pope membenarkan pemuda yang miskin ini tinggal dan bekerja di tingkat bawah tanah rumahnya di Elizabeth, New Jersey.
Sesetengah daripada rekaan-rekaan Edison yang terawal berkait dengan telegraf, termasuknya tiker saham (bahasa Inggeris: ticker tape). Paten Edison yang pertama ialah pencatat undi elektrik (Paten Amerika Syarikat 90,646) [7] yang diluluskan pada 1 Jun 1869. [8]

[sunting] Rumah tangga

Pada 25 Disember 1871, Edison berkahwin dengan Mary Stilwell yang berumur 16 tahun dan yang ditemuinya dua bulan lebih awal. Mereka dikurniakan dengan tiga orang anak, iaitu:
  • Marion "Dot" Estelle Edison (18731965)
  • Thomas "Dash" Alva Edison, Jr (18761935)
  • William Leslie Edison (18781935)
Mary Edison meninggal dunia pada 9 Ogos 1884 ketika berumur sekitar 29 tahun dan pada 24 Februari 1886 ketika berumur 39 tahun, Edison berkahwin dengan Mina Miller yang berumur 19 tahun di Akron, Ohio. [9] Mereka juga dikurniakan dengan tiga orang anak, iaitu:
Mina hidup lebih lama daripada Thomas Edison dan meninggal dunia pada 24 Ogos 1947.[10]

[sunting] Permulaan kerjaya

Gambar foto Edison dengan ciptaan peti nyanyi, diambil oleh Mathew Brady pada tahun 1877
Thomas Edison memulakan kerjayanya sebagai pencipta di bandar Newark, New Jersey, bermula dengan pengulang automatik dan peranti-peranti telegrafi yang lain, tetapi setelah mencipta peti nyanyi barulah namanya dijulang pada tahun 1877. Ramai yang tidak menyangka pencapaian ini. Edison meraih gelaran "The Wizard of Menlo Park," sempena tempat tinggalnya ketika itu. Peti nyanyi sulungya merupakan rakaman bunyi pada kerajang timah di keliling silinder beralur tetapi mutu bunyinya kurang memuaskan. Rakaman kerajang timah hanya dapat diputar beberapa kali yang kecil sahaja. Pada 1880-an, munculnya model diperbaharui yang dibuat daripada silinder kadbod bersalut lilin ciptaan Alexander Graham Bell, Chichester Bell, dan Charles Tainter. Oleh itu Thomas Edison menyambung kerja-kerja memperhalusi ciptaan peti nyanyinya ("Perfected Phonograph").

[sunting] Menlo Park (1876-1881)

Makmal Menlo Park milik Edison, dipindahkan ke Greenfield Village di Dearborn, Michigan. (Perhatikan organ pada dinding)
Model mentol lampu pertama yang dijayakan Thomas Edison, didemonstrasi di khalayak ramai di Menlo Park, Disember 1879
U.S. Patent#223898: Electric-Lamp. Dikeluarkan pada 27 Januari 1880.
Inovasi utama Edison merupakan makmal penyelidikan industri terulung yang dibina di Menlo Park, New Jersey. Pembinaan makmal ini dibiayai oleh penjualan telegraf kuadrupleks oleh Edison. Selepas menunjuk cara ciptaan telegraf, Edison belum pasti sama ada rancangan asalnya iaitu menjualnya pada harga sekitar $4,000 hingga $5,000 adalah bijak, maka beliau meminta Western Union untuk membida harganya. Terkilan rasanya apabila ditawar pada harga $10,000,[perlu rujukan] maka beliau menerimanya dengan senang hatinya. Telegraf kuadrupleks ini menjadi kejayaan kewangan besar yang pertama buat Edison, maka Menlo Park menjadi institusi pertama yang didirikan dengan tujuan khusus menghasilkan inovasi dan peningkatan teknologi yang berterusan. Edison diberi penghargaan atas kebanyakan ciptaan yang dihasilkan di situ, biarpun ramai kakitangan menjalankan usaha penyelidikan dan pembangunan mengikut arahannya. Kakitangan beliau diberitahu agar mematuhi arahannya dalam menjalankan penyelidikan, lebih-lebih lagi digesa bekerja keras demi memperoleh hasil. Kumpulan penyelidikan besar yang merangkumi jurutera dan pekerja-pekerja lain, mengasaskan kebanyakan penyelidikan mereka pada usaha-usaha yang sudah dilakukan oleh orang lain.
William J. Hammer, seorang perunding kejuruteraan elektrik, memulakan tugasnya sebagai pembantu makmal Edison pada bulan Disember 1879. Beliau membantu dalam uji kaji telefon, peti nyanyi, kereta api elektrik, pemisah bijih besi, pencahayaan elekttrik, dan banyak lagi. Walaupun begitu, Hammer lebih menumpu pada lampu pijar dan ditugaskan menjalankan ujian dan catatan terhadap peranti tersebut. Pada tahun 1880, beliau dilantik menjadi ketua jurutera Edison Lamp Works. Sepanjang tahun pertamanya, kilang ini yang diketuai Pengurus Besar Francis Robbins Upton mengeluarkan 50,000 biji lampu. Menurut Edison, Hammer merupakan "perintis pencahayaan elektrik pijar".
Hampir kesemua paten Edison merupakan utiliti yang dilindungi selama 17 tahun dan merangkumi ciptaan atau proses yang bersifat elektrik, mekanik, atau kimia. Belasan paten ini merupakan paten rekabentuk yang melindungi rekabentuk hiasan selama 14 tahun. Seperti kebanyakan paten yang pernah dikeluarkan, ciptaan-ciptaan beliau ini merupakan pembaikan terhadap ciptaan-ciptaan sedia ada. Paten bagi peti nyanyi pula tiada peranti pertama yang merakam dan menghasilkan semula bunyi.[11] Sebenarnya, bukan Edison yang mencipta mentol elektrik pertama, sebetulnya beliau mencipta lampu pijar pertama yang boleh diperdagangkan. Sebelum ini sudah wujudnya rekaan-rekaan seumpamanya oleh pencipta-pencipta lain termasuklah paten yang dibelinya dari Henry Woodward dan Mathew Evans, Moses G. Farmer,[12] Joseph Swan, James Bowman Lindsay, William E. Sawyer, Sir Humphry Davy, dan Heinrich Göbel. Sesetengah mentol terawal ini menampakkan kepincangan ketara seperti hayat yang amat singkat, kos pengeluaran mahal, dan penggunaan arus elektrik terlalu tinggi, oleh itu sukar untuk dipasarkan secara besar-besaran. Pada tahun 1878, Edison mencipta istilah "filamen" bagi usnur dawai berbara yang membawa arus, walaupun istilah tersebut pernah dipakai oleh pencipta Inggeris bernama Joseph Swan sebelum ini. Edison memetik ciri-ciri rekaan awal tersebut lalu menugaskan para pekerjanya untuk mencipta mentol yang tahan lebih lama. Menjelang tahun 1879, beliau dapat menghasilkan konsep baru, iaitu lampu rintangan tinggi dalam vakum yang amat tinggi, yang mampu membara selama beratus-ratus jam. Dibandingkan dengan pencipta awal yang menghasilkan pencahayaan elektrik dalam keadaan makmal, seawal demonstrasi dawai membara oleh Alessandro Volta pada tahun 1800, Edison memberi tumpuan kepada kegunaan komersil, maka beliau dapat menjual konsepnya kepada perumahan dan perniagaan dengan menghasilkan mentol lampu yang lebih tahan lama secara besar-besaran serta melengkapkan sistem janaan dan pengedaran elektrik.

[sunting] Pemancar telefon karbon

Pada tahun 1877–1878, Edison mencipta dan memajukan mikrofon karbon yang digunakan dalam semua telefon di samping penerima Bell sehingga 1980-an. Setelah melalui litigasi paten yang berlarutan, pada tahun 1892 mahkamah persekutuan memutuskan bahawa Edison, bukan Emile Berliner, merupakan pencipta mikrofon karbon yang sah. Mikrofon karbon tersebut juga digunakan dalam penyiaran radio dan siar raya pada 1920-an.

[sunting] Lampu elektrik

Edison pada tahun 1878
Rencana utama: Lampu pijar
Setelah melalui bermacam uji kaji dengan platinum dan filamen logam yang lain, Edison menoleh kembali ke filamen karbon. Ujian pertama yang berhasil dijalankan pada 22 Oktober 1879,[13] sepanjang 40 jam. Edison terus memperhalusi rekaan ini dan pada 4 November 1879, beliau memohon paten A.S. 223,898 (diberi pada 27 Januari 1880) untuk lampu elektrik yang menggunakan "filamen atau jalur karbon yang digelung dan disambungkan pada dawai sentuh platina".[14] Biarpun paten ini menghuraikan beberapa kaedah menghasilkan filamen karbon dengan bahan "benang kapas dan linen, tuap kayu, dan gegelung kertas",[14] beberapa bulan kemudian selepas paten diluluskan barulah Edison dan pasukannya menemui filamen buluh dikarbonkan yang boleh bertahan selama 1,200 jam.
Pada tahun 1878, Edison menubuhkan Edison Electric Light Company di bandar raya New York dengan dukungan beberapa pembiaya, termasuk J. P. Morgan dan ahli-ahli keluarga Vanderbilt. Edison mengadakan tunjuk cara pertama bagi ciptaan mentol pijar di Menlo Park pada 31 Disember 1879. Ketika itu beliau pernah berkata: "Kami akan memastikan elektrik semakin murah hinggakan hanya orang-orang kaya yang sanggup menyalakan lilin."[15]
Syarikat George Westinghouse membeli hak paten lampu aruhan Philip Diehl (1882) pada harga $25,000, sekaligus memaksa pemegang paten Edison untuk mengenakan kadar yang lebih berpatutan bagi penggunaan hak paten Edison di samping menurunkan harga lampu elektrik.[16]
Pada 8 Oktober 1883, jabatan paten A.S. mendapati bahawa paten Edison berasaskan usaha William Sawyer dan maka itu adalah tidak sah. Litigasi berterusan selama enam tahun sehingga 6 Oktober 1889, apabila hakim menetapkan bahawa hujah peningkatan lampu elektrik bagi "filamen karbon tahan lama" oleh Edison adalah sah. Untuk mengelakkan kemungkinan perselisihan mahkamah dengan Joseph Swan yang meraih peten British setahun sebelum Edison, beliua bersama Swan membentuk syarikat Ediswan untuk mengeluarkan dan menghasilkan ciptaan berkenaan di Britain.
Teater Mahen di bandar Brno di kawasan yang kini dalam wilayah Republik Czech, merupakan binaan awam pertama di dunia yang menggunakan lampu elektrik ciptaan Edison. Pemasangan lampunya dikelola oleh pembantu Edison bagi ciptaan lampu berkenaan, iaitu Francis Jehl.[17]

[sunting] Pengedaran bekalan elektrik

Edison mempatenkan sistem pengedaran elektrik pada tahun 1880, sebagai langkah penting untuk mengambil kesempatan daripada penciptaan lampu elektrik. Pada 17 Disember 1880, Edison mengasaskan syarikat Edison Electric Illuminating Company. Syarikat tersebut mengasaskan khidmat utiliti elektrik milik pelabur yang pertama pada tahun 1882 di Pearl Street Station, Bandar Raya New York. Pada 4 September 1882, Edison menghidupkan sistem pengedaran kuasa elektrik dari penjana di Pearl Street, yang membekalkan arus terus (DC) sekuat 110 volt kepada 59 orang pengguna di kawasan Manhattan.
Sebelum itu, pada Januari 1882 beliau telah menghidupkan stesen kuasa janaan wap di Holborn Viaduct di London. Sistem bekalan DC tersebut membekalkan elektrik kepada lampu jalanan dan beberapa perumahan persendirian dalam jarak terdekat dari stesen tersebut. Pada 19 Januari 1883, sistem pencahayaan elektrik pijar piawai pertama yang menggunakan wayar atas mula berkhidmat di bandar Roselle, New Jersey.

[sunting] Perang Arus

Rencana utama: Perang Arus Elektrik
Peragaan lampu elektrik yang ranggi menyerikan acara umum, seperti yang dipaparkan dalam gambar dari pertunjukan 1897 Tennessee Centennial Exposition.
Kejayaan sebenar Edison serupa dengan sahabatnya Henry Ford, iaitu keupayaannya memaksimumkan keuntungan dengan mengasaskan sistem pengeluaran besar-besaran dan hak harta intelek, tetapi pada masa yang sama melunturkan pencapaian usaha-usaha yang kurang lumayan dari pencipta lain yang menumpu kepada penciptaan teknologi yang lebih tahan lama dan cekap.[18][19] George Westinghouse dan Edison menjadi lawan kerana Edison menggalakkan pengedaran kuasa elektrik secara arus terus (direct current, DC) berbanding sistem arus ulang-alik (alternating current, AC) yang lebih mudah diedarkan, ciptaan Nikola Tesla dan didukung oleh Westinghouse. Berbanding dengan DC, AC boleh dilangkah naik ke voltan sangat tinggi melalui penggunaan transformer, disalurkan melalui dawai yang lebih nipis dan murah, lalu dilangkah turun di destinasi untuk diedarkan kepada pengguna.
Pada tahun 1887, terdapat 121 buah stesen janakuasa Edison yang menyalurkan arus terus kepada pengguna di Amerika Syarikat. Ketika orang awam mempertikai keupayaan arus terus, Edison melancarkan kempen propaganda untuk meyakinkan orang ramai bahawa arus ulang-alik terlalu bahaya untuk digunakan. Salah satu kepincangan DC adalah stesen janakuasa cuma mampu menyalurkan bekalan elektrik kepada para pengguna dalam jarak 1½ batu dari stesen janakuasa, justeru hanya sesuai digunakan oleh kawasan perniagaan pusat bandar. Apabila George Westinghouse mencadangkan penggunaan AC bervoltan tinggi yang mampu menyalurkan elektrik sejauh ratusan batu tanpa banyak kehilangan kuasa, maka Edison mencetuskan "Perang Arus" untuk menghalang hasrat Westinghouse untuk melariskan penggunaan AC itu.
Sungguhpun Edison membangkang hukuman mati, namun kempen memerangi AC mengakibatkan diri Edison terjebak dalam pemajuan dan promosi kerusi elektrik untuk menunjukkan betapa bahayanya AC berbanding DC yang lebih "selamat". Edison terus menjalankan kempen yang singkat tetapi sengit untuk mengharamkan penggunaan AC atau mengehadkan voltan untuk tujuan keselamatan. Dalam kempen ini, para pekerja Edison merenjatkan haiwan di khalayak umum untuk menunjukkan betapa bahayanya AC;[20][21] arus elektrik AC, terutamanya hampir frekuensi 60 Hz, memperlihatkan kebarangkalian lebih tinggi untuk mengakibatkan “pemfibrilan jantung” pembunuh berbanding arus DC.[22] Misalnya, pada tahun 1903, para pekerja upahan Edison merenjatkan Topsy si gajah di Luna Park, berhampiran Pulau Coney, setelah gajah tersebut membunuh beberapa orang sehingga pemiliknya mahu Topsy dibunuh.[23] Peristiwa tersebut turut dirakamkan oleh pihak syarikat beliau.
Akhirnya, kaedah AC menewaskan DC untuk tujuan janaan dan pengedaran kuasa secara keseluruhan, malah banyak meluaskan penggunaan dan mempertingkatkan kecekapan bekalan elektrik. Walaupun tidak digemari lagi, namun kaedah DC masih wujud terutamanya dalam sistem transmisi arus terus bervoltan tinggi (high-voltage direct current, HVDC) jarak jauh. Pengedaran DC bervoltan rendah pula masih digunakan di kawasan pusat bandar berketumpatan penduduk tinggi selama bertahun-tahun namun digantikan oleh rangkaian AC bervoltan rendah di kebanyakan kawasan perniagaan pusat. DC ada kelebihan yang mana tabung bateri yang besar boleh terus menjana kuasa walaupun berlakunya gangguan seketika bekalan elektrik dari penjana dan sistem transmisi. Kemudahan seperti Commonwealth Edison di Chicago ada pengubah putar, atau juga dikenali sebagai penjana motor, yang boleh mengubah DC ke AC dan AC ke pelbagai frekuensi pada awal abad ke-20. Syarikat utiliti membekal alat terus untuk menukarkan AC bervoltan rendah menjadi DC untuk kegunaan lif, kipas dan pam. Masih terdapat 1,600 pengguna DC di pusat bandar New York City pada tahun 2005, sebelum perkhidmatan ini akhirnya dihentikan pada 14 November 2007.[24] Walaupun begitu, kebanyakan sistem tren bawah tanah masih dijana berkuasakan arus terus.

[sunting] Fluoroskopi

Edison dihargai kerana mereka dan menghasilkan fluoroskop komersil yang pertama, iaitu mesin yang mengambil radiograf (atau "sinar X"). Pada mulanya, teknologi ini hanya mampu menghasilkan imej yang agak kabur, sehinggalah Edison mendapati layar fluoroskopi tungstat kalsium boleh menghasilkan imej yang lebih jelas berbanding layar platinosianid barium yang asalnya dipakai oleh Wilhelm Röntgen. Rekaan asas fluoroskop Edison masih dipakai hingga ke masa kini, walaupun Edison sendiri menghentikan projek itu setelah nyaris kehilangan penglihatannya, apalagi menyebabkan pembantunya Clarence Dally cacat teruk. Dally menawarkan diri sebagai bahan ujian untuk projek fluoroskopi, dan maka itu dirinya terdedah kepada jumlah sinaran yang beracun. Lambat-laun dia meninggal akibat kecederaan kesan pendedahan tersebut. Pada tahun 1903, Edison yang masih meratapi tragedi itu menyeru agar tidak berbincang mengenai sinar X bersamanya lagi kerana beliau sudah gerun.[25]

[sunting] Ciptaan media

Telegrafi merupakan kunci kepada kejayaan Edison. Dengan adanya pengetahuan dari pengalaman bertahun-tahun sebagai pengendali telegraf, beliau mempelajari asas penggunaan elektrik. Ini membolehkan beliau mengaut untung pertamanya dengan ciptaan stock ticker, iaitu sistem penyiaran elektrik yang terawal. Edison mempatenkan mesin petin nyanyi yang merakam dan memainkan bunyi pada tahun 1878. Edison juga meraih peten untuk ciptaan kamera wayang gambar atau "Kinetograph". Beliau membangunkan rekabentuk elektromekanik sementara pekerjanya W.K.L. Dickson yang bertugas sebagai jurugambar, mengusahakan pembangunan fotografi dan optik. Oleh itu, penghargaan banyak diberi kepada Dickson atas ciptaan tersebut.[13] Pada tahun 1891, Thomas Edison mencipta mesin Kinetoscope yang digunakan untuk menonton filem pendek yang ringkas. Kinetograph dan Kinetoscope dipamerkan buat julung kalinya pada 20 Mei 1891.[26]
Pada 9 Ogos 1892, Edison menerima paten untuk ciptaan telegraf dua hala. Pada bulan April 1896, Vitascope ciptaan Thomas Armat yang dihasilkan oleh kilang Edison dan dipasarkan dengan nama Edison, digunakan untuk menayangkan wayang gambar di tayangan awam di bandar raya New York. Kemudian, beliau mempamerkan wayang gambar beriringan runut suara dari rakaman silinder yang disegerakkan dengan filem.
Ciptaan Kinetoscope menjejak kaki di Eropah apabila seorang tokoh perniagaan Amerika bernama Irving T. Bush (1869–1948) membeli 12 buah mesin dari Continental Commerce Company milik Franck Z. Maguire dan Joseph D. Bachus. Bush memasang mesin Kinetoscope pertama di London pada 17 Oktober 1894. Pada masa yang sama, syarikat Kinétoscope Edison Michel et Alexis Werner dari Perancis membeli mesin-mesin tersebut untuk pasaran Perancis. Pada akhir tahun 1894, Continental Commerce Company menjual ratusan Kinetoscope ke Eropah, khususnya Belanda dan Itali. Di Jerman dan Austria-Hungary, Kinetoscope diperkenalkan oleh Deutsche-österreichische-Edison-Kinetoscop Gesellschaft (Syarikat Kinetoscope Jerman-Austria-Edison), yang diasaskan oleh Ludwig Stollwerck[27] dari Schokoladen-Süsswarenfabrik Stollwerck & Co di kota Cologne. Belgium pula menerima mesin Kinetoscope pertamanya di Fairs pada awal tahu 1895. Kinétoscope Français milik syarikat Edison diasaskan di Brussels pada 15 Januari 1895, terutamanya dilabur oleh usahawan Belgium, dengan memegang hak penjualan Kinetoscope di Monaco, Perancis dan jajahan-jajahan Perancis. Pada 14 Mei 1895, Kinétoscope Belge diasaskan di Brussels. Tokoh perniagaan Ladislas-Victor Lewitzki, yang menetap di London tetapi bergiat di Belgium dan Perancis, mengambil inisiatif untuk membuka perniagaan ini. Beliau menjalin hubungan dengan Leon Gaumont dan syarikat American Mutoscope and Biograph Co. Pada tahun 1898, beliau juga menjadi pemegang saham Biograph and Mutoscope Company untuk Perancis.[28]
Pada tahun 1901, Edison melawat kawasan Sudbury, Ontario, Kanada sebagai seorang pencari gali, dan dihargai kerana julung kali menemui kelompok bijih di Falconbridge. Walaupun begitu, beliau gagal memajukan kawasan tersebut sebagai kawasan perlombongan, lalu beliau melepaskan hasratnya pada tahun 1903.[29] Sebatang jalan di Falconbridge, dan juga Bangunan Edison yang pernah dijadikan ibu pejabat Falconbridge Mines, dinamakan sempena beliau.
Pada tahun 1902, sebilangan orang suruhan Thomas Edison menyogok seorang pemilik pawagam di London untuk mendapatkan satu salinan filem Le Voyage dans la Lune buatan Georges Méliès. Kemudian, Edison menghasilkan ratusan lagi salinan lalu menayangkannya di Bandar Raya New York tanpa memberikan apa-apa pampasan kepada Méliès. Méliès sendiri berniat untuk membawa filem itu untuk ditayangkan di seluruh Amerika Syarikat untuk menanggung perbelanjaan tinggi dari pembikinan filem ini, malangnya setelah menyedari Edison sudah menayangkannya maka Méliès jatuh muflis.[30] Berikutan itu, orang lain turut menciplak dan menayangkan filem orang lain juga.[31] Untuk melindungi hak cipta filemnya, Edison menyimpan salinan filem-filem berkenaan dalam kertas fotograf berjaluran panjang di pejabat hak cipta Amerika Syarikat. Kebanyakan cetakan kertas tersebut tahan lebih lama berbanding salinan filem sebenar yang ditayangkan pada zaman itu.[32]
Filem wayang kegemaran Edison berjudul The Birth of a Nation. Beliau berpendapat bahawa filem bersuara telah "menghancurkan segalanya", kerana "Tiada lagi alkonan bagus yang ditayangkan dalam layar, memandangkan para pelakon leka dengan suara sehingga terlupa cara berlakon dengan betul. Saya lebih terasa kerana saya ini pekak orangnya."[33]
Pada tahun 1908, Edison melancarkan Motion Picture Patents Company, iaitu konglomerat yang dianggotai sembilan studio perfileman utama (yang bergelar Edison Trust). Thomas Edison adalah saudara kehormat pertama di Persatuan Akustik Amerika, yang diasaskan pada tahun 1929.

[sunting] Akhir hayat

Edison menyambut hari jadi ke-82 bersama Presiden Herbert Hoover, Henry Ford, dan Harvey Firestone. Ft. Myers, Florida, 11 Februari 1929.
Edison menjadi pemilik rumah yang merupakan tempat lahirnya di Milan, Ohio, pada tahun 1906. Pada kali terakhir beliau mengunjunginya pada tahun 1923, beliau terkilan kerana mendapati rumah lamanya itu masih diterangi oleh pelita dan lilin. Pada tahun-tahun terakhirnya "satu-satunya cecair yang diambilnya ialah sepain susu setiap tiga jam,"[34] kerana beliau percaya amalan pemakanan sebegini boleh memulihkan kesihatannya.
Edison bergiat dalam biudang perniagaan hingga ke akhir hayat. Beberapa bulan sebelum kematiannya pada tahun 1931, beliau memimpin projek perkhidmatan tren elektrik Lackawanna Railroad di kawasan subbandar dari Hoboken ke Gladstone, Montclair dan Dover di negeri New Jersey yang bertransmisi sistem katenari overhed. Thomas Edison menaiki ruang pendikit tren MU (Multiple-Unit) pertama yang berlepas dari Terminal Lackawanna di bandar Hoboken, lalu membawa tren tersebut sampai ke bandar Dover. Kumpulan tren yang diaturkan oleh Edison di landasan Lackawanna pada tahun 1931 beroperasi sehingga tahun 1984. Sebuah plak khas sempena memperingati kejayaan bersama syarikat Lackawanna dan Edison, masih boleh dilihat di bilik menunggu Terminal Lackawanna Terminal di Hoboken yang kini dikendali oleh New Jersey Transit.
Edison membeli sebuah rumah bernama "Glenmont" pada tahun 1886 sebagai hadiah perkahwinan kepada Mina di Llewellyn Park di bandar West Orange, New Jersey. Di situlah jenazah Edison dan isterinya, Mina, dikebumikan. Hartanah seluas 13.5 ekar (55,000 m²) itu diselenggara oleh National Park Service dengan nama Tapak Bersejarah Kebangsaan Edison. Thomas Edison meninggal dunia pada 18 Oktober 1931, di New Jersey pada usia 84 tahun. Kata-kata terakhir beliau kepada isterinya berbunyi "Indahnya di sana." Mina pula meninggal pada tahun 1947. Hembusan terakhir Edison dilaporkan disimpan dalam tabung uji di Muzium Henry Ford. Ford dilaporkan meminta Charles Edison menyimpan udara dari bilik Thomas Edison dalam tabung uji sejurus selepas beliau meninggal, sebagai bahan kenangan.
Seminole Lodge

[sunting] Kritikan

Walaupun Edison bekerja seorang diri pada tahun-tahun awal, beliau kemudian membina satu pasukan penyelidikan dan pembangunan yang agak besar di makmal penyelidikannya di Menlo Park. Umumnya, kakitangan Edison membuat penyelidikan di bawah arahannya, dengan Edison memaksa mereka bekerja keras untuk mencapai hasil. Bagaimanapun, apabila Edison tidak hadir di makmal, kemajuan kerja menjadi amat perlahan. Pasukan penyelidikan Edison merangkumi jurutera dan pekerja yang lain dan mendasarkan kebanyakan penyelidikan mereka pada kerja yang telah dibuat oleh orang lain.
Banyak pereka yang lain telah mengerjakan pembangunan mentol pijar, dengan sesetengah mereka juga pernah mempatennya sebelum Edison. Rekaan Edison sendiri seringnya salah dianggap sebagai karya Edison tersendiri walaupun sebenarnya, sebilangan pekerja bertugas di bawah arahannya. Banyak orang merujuk kepada karya Edison sebagai mentol pijar pertama yang mempunyai rintangan tinggi, kawasan sinaran yang kecil, serta juga jangka hayat yang berguna. Dalam erti kata yang lain, permohonan patennya disampaikan sebagai reka bentuk tunggal yang sesuai digunakan oleh syarikat tenaga besar seperti yang dimiliki dan dikendalikan oleh Edison sendiri. Bagaimanapun, Pejabat Paten Amerika Syarikat memutuskan pada 8 Oktober 1883 bahawa reka bentuk Edison bersandarkan karya William Sawyer dan justera itu, permohonannya tidak sah. Sebenarnya, ketika itu, Edison telah kalah dalam pertikaian paten di mahkamah British apabila Joseph Swan didapati telah menerima paten untuk mentol yang cuba dituntut oleh Edison sebagai rekaan sendiri di Amerika Syarikat pada 1879.[35]
Kejayaan benar Edison, seperti dengan kawannya, Henry Ford, ialah keupayaannya untuk memaksimumkan untung menerusi sistem pengeluaran besar-besaran serta hak harta intelektual. Ini memudarkan kejayaan karya orang lain yang menumpukan teknologi kecekapan tinggi yang lebih tahan tetapi kurang beruntung.[36]
Edison seringnya menentang inovasi dan perubahan teknologi, mungkin kerana itu menjejaskan model perniagaannya. Pada 1887, terdapat 121 buah stesen kuasa Edison di Amerika Syarikat yang membekalkan elektrik arus terus kepada pelanggan. Apabila batas keupayaan dibincangkan oleh khalayak, Edison melancarkan kempen propaganda untuk meyakinkan orang ramai bahawa elektrik arus ulang-alik (AU) amat sangat berbahaya. Masalah arus terus adalah bahawa stesen kuasa hanya dapat membekalkan elektrik arus terus kepada pelanggan dengan murah di dalam lingkungan satu setengah batu sahaja dari stesen itu. Justera, ia hanya sesuai digunakan untuk daerah pusat perniagaan. Apabila George Westinghouse mencadangkan penggunaan arus ulang-alik voltan tinggi kerana ia dapat membekalkan elektrik sehingga beratus-ratus batu dari stesen tanpa kehilangan banyak kuasa, Edison melancarkan "Perang Arus" untuk menghalang arus ulang-alik daripada diterima lalu digunakan. Dia berulang-ulang kali mengenakan kejutan elektrik arus ulang-alik 1000V pada haiwan untuk 'membuktikan' bahawa arus ulang-alik tidaklah selamat, walaupun lindungan daripada kejutan eletrik, baik oleh arus ulang-alik ataupun oleh arus terus, adalah sama sahaja. Salah satu peristiwa yang lebih terkenal berlaku pada 1903 apabila pekerja-pekerja Edison mengenakan kejutan elektrk pada Topsy si gajah di Luna Park, berhampiran dengan Pulau Coney, selepas gajah itu membunuh banyak orang dan pemiliknya hendak gajah itu dibunuh. Syarikat Edison memfilemkan kejutan elektrik tersebut. Justera, Edison merupakan orang yang memperkenalkan amalan hukuman mati menerusi kejutan eletrik.
Sistem arus ulang-alik (AU) akhirnya diterima dan digunakan. Selain daripada George Westinghouse, sistem yang digunakan pada hari ini disumbangkan oleh banyak orang yang lain, termasuk Nikola Tesla, Lucien Gaulard, John Dixon Gibbs, dan Oliver Shallenger antara 1881 hingga 1889.

[sunting] Penghormatan

Penghormatan kepada Thomas Edison tak terkiranya. Ini terbukti dengan penamaan tempat-tempat dan benda-benda sempena beliau, termasuklah bandar Edison, New Jersey, dan Kolej Negeri Thomas Edison di Trenton, New Jersey. Terdapat sebuah Menara Peringatan dan Muzium Thomas Alva Edison di bandar Edison. Di Beaumont, Texas, terdapat sebuah Muzium Edison, sungguhpun Edison tidak pernah melawat Beaumont. The City Hotel yang terletak di bandar Sunbury, Pennsylvania merupakan binaan pertama yang dicahayakan dengan sistem tiga wayar ciptaan Edison. Hotel tersebut dinamakan semula sebagai The Hotel Edison, maka kekalnya nama ini hingga ke hari ini.
Tentera Laut Amerika Syarikat memberikan nama USS Edison kepada sebuah kapal pembinasa kelas Gleaves' destroyer, pada tahun 1940. Kapal tersebut dibersarakan beberapa bulan selepas berakhirnya Perang Dunia II. Pada tahun 1962, Tentera Laut menggunakan USS Thomas A. Edison, sebuah kapal selam berkuasa nuklear yang mengeluarkan peluru berpandu balistik, sehingga dibersarakan pada 1 Disember 1983 dan disingkirkan dari Daftar Kapal Tentera pada 30 April 1986. Kapal tersebut melalui Program Pengitaran Semula Kapal dan Kapal Selam Berkuasa Nuklear anjuran Tentera Laut di bandar Bremerton, Washington, bermula 1 Oktober 1996. Selepas selesai pada 1 Disember 1997, kapal ini disenaraikan sebagai sekerap dan tidak wujud lagi sebagai sebuah kapal lengkap.
Pingat Edison diperkenalkan oleh sekumpulan sahabat handai dan rakan sekerja Edison pada 11 Februari 1904. Empat tahun kemudian, Institut Jurutera Elektrik Amerika (American Institute of Electrical Engineers, AIEE), kemudian dinamakan IEEE, bersepakat dengan kumpulan tersebut untuk menjadikan pingat tersebut sebagai anugerah tertinggi institut tersebut. Pingat pertama dihadiahkan kepada Elihu Thomson pada tahun 1909. Pada tahun 1917, pingat itu dikurniakan kepada Nikola Tesla. Pingat Edison ialah anugerah tertua dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, yang dihadiahkan setiap tahun kepada sesiapa yang menjayakan "kerjaya pencapaian terpuji dalam bidang sains elektrik, kejuruteraan elektrik atau kesenian elektrik."
Muzium Port Huron di Port Huron, Michigan, memulihkan depoh asal yang menjadi tempat kerja Thomas Edison ketika muda, lalu menamakannya sebagai Thomas Edison Depot Museum. Di bandar tersebut juga terdapat banyak mercu tanda bersejarah yang berkaitan dengan Edison termasuk kubur ibu bapa Edison.
Di kota Detroit, air pancutan Edison Memorial Fountain didirikan di Grand Circus Park untuk memperingati pencapaiannya. Air panuctan buatan batu kapur tersebut didedikasi pada 21 Oktober 1929.
Majalah Life (Amerika Syarikat) dalam keluaran naskhah berganda istimewa, meletakkan Edison di kedudukan teratas senarai "100 Most Important People in the Last 1000 Years," atas sebab ciptaan lampu mentol yang dilariskannya telah "menerangi dunia." Beliau juga menduduki tangga ke-35 dalam senarai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah oleh Michael H. Hart. Pada tahun 1940, riwayat Edison diceritakan dalam filem Edison, The Man yang dibintangi Spencer Tracy sebagai Edison.
Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan tak terhingga oleh para pencipta kepada negara dan dunia, Kongres Amerika Syarikat, menurut Resolusi Bersama Senat 140 (Undang-Undang Awam 97 - 198), meentapkan 11 Februari, iaitu ulang tahun kelahiran Thomas Alva Edison, sebagai Hari Pencipta Kebangsaan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar